Hari Wesak & Keputeraan Agong: Ini Penjelasan KESUMA
Kerajaan telah bersetuju untuk menetapkan hari kelepasan am. Ianya sempena Hari Wesak serta Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 31 Mei dan 1 Jun ini.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong merupakan salah satu daripada lima hari kelepasan am wajib. Ianya perlu diberikan oleh majikan kepada pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut kementerian itu, berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kerja 1955, cuti tersebut tidak boleh digantikan dengan hari lain.
Dalam masa yang sama, Hari Wesak pula merupakan hari kelepasan am berbayar yang boleh dipilih oleh majikan. Ianya adalah bagi melengkapkan enam hari kelepasan am berbayar yang perlu diberikan kepada pekerja.
KESUMA turut menjelaskan bahawa sekiranya sesuatu hari kelepasan am jatuh pada hari rehat mingguan atau mana-mana cuti lain yang telah ditetapkan, maka hari bekerja berikutnya hendaklah dijadikan sebagai cuti gantian berbayar.
Sehubungan itu, bagi majikan yang menetapkan hari Ahad sebagai hari rehat mingguan dan memilih Hari Wesak sebagai cuti umum, mereka perlu memberikan cuti pada 1 Jun (Isnin) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh diganti, serta 2 Jun 2026 (Selasa) sebagai cuti gantian bagi Hari Wesak.
Namun begitu, cuti gantian tersebut boleh ditukar ke hari lain sekiranya mendapat persetujuan daripada pekerja, selaras dengan peruntukan undang-undang.
Baca Juga Artikel Ini -> Kalendar Cuti Umum 2026
Selain itu, pekerja yang menerima gaji RM4,000 ke bawah atau yang tertakluk di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955. Mereka yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am, layak menerima bayaran mengikut kadar yang telah ditetapkan.
KESUMA turut menegaskan bahawa majikan perlu mematuhi semua peruntukan undang-undang bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjaga.







